ARTIKEL

Bijaklah Dalam Pengurusan Masa.
                Pengurusan masa penting dalam kehidupan manusia. Manusia yang suka membazirkan masa samalah seperti dia membazirkan usianya. Setiap detik masa akan terus berlalu, tiada siapa yang mampu menahan, menangguh atau mempercepatkan perjalanannya. Ada dikalangan kita menganggap masa yang dikurniakan Allah itu tidak mencukupi kerana kehidupan manusia masa kini begitu sibuk. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap individu menguruskan masa dengan bijaksana, kerana pepayah Arab ada menyebut bahawa “ masa itu laksana pedang, jika kamu tidak memotongnya ia akan memotong diri kamu sendiri. Begitulah digambarkan betapa pentingnya pengurusan masa dalam kehidupan seorang insan.
            Kerugian masa tidak sama dengan kerugian harta. Harta yang habis boleh diganti selagi ada usia dan tenaga. Tetapi apabila habis usia, tamatlah masa seseorang dan berakhirlah segala peluang untuk beramal. Disana yang menanti kita sama ada syurga atau neraka. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.selalu berpesan supaya kita merebut lima peluang yang ada sebelum berlalunya lima peluang tersebut.
            Kebanyakkan orang mukmin banyak mengerjakan amal ibadat seperti solat, zikir, puasa, zakat, haji dan seumpamanya. Tetapi tidak ramai yang berkecimpung dalam bidang dakwah iaitu berpesan atau mengajak kepada kebenaran dan kesabaran. Pendek kata, sudah ramai orang yang baik iaitu yang beriman dan beramal soleh tetapi tidak ramai yang membaikkan orang lain (menyeru makruf mencegah mungkar) dengan penuh sabar. Sesungguhnya amal ibadat seseorang tidak cukup untuk menjamin syurga. Justeru amal ibadat khusus mestilah disertakan dengan ajakan, seruan dan mendakwah orang lain supaya kita terjamin dikalangan orang yang beruntung dan memperoleh syurga. Apabila kita mengambil tanggungjawab berdakwah kea rah kebaikan (selepas kita sendiri beriman dan beramal soleh), maka kita akan menyedari hakikat kebenaran bahawa kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Dengan kesedaran ini, kita tidak akan merasa kita tidak mempunyai kerja, menghabiskan masa dengan melepak, pergi berhibur dan pelbagai bentuk pembuangan masa yang tidak menguntungkan kehidupan kita di dunia.

Amalan zikir dalam kehidupan.
            Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Setiap anggota yang diciptakan Allah ada tugasnya masing-masing. Mata digunakan untuk melihat. Telinga digunakan untuk mendengar. Hidung digunakan untuk menghidu. Lidah pula digunakan untuk merasa dan bercakap. Semuanya diletakkan sesuai dengan tempatnya.
            Walaupun setiap anggota ada tugasnya masing-masing tetapi janganlah pula digunakan untuk perkara yang tidak baik. Begitulah juga dengan lidah yang dijadikan oleh Allah untuk bercakap atau mengucapkan kalimah yang baik seperti zikir, membaca al-Quran dan mengajak orang berbuat kebaikan.
            Ayuh marilah kita mengamalkan zikir, membiasakan diri dengan mendengar dan mengamalkan bacaan-bacaan zikir, tasbih, tahmid, selawat, tahlil, istighfar, istirja’, hauqalah, hasbalah, basmalah dan lain-lain lagi. Zikir merupakan ucapan yang mengigatkan kita kepada Allah S.W.T. Biasakanlah diri kita dengan ucapan Al-hamdulillah apabila menerima pemberian. Begitu juga dengan lafaz Astaghfirullah hendaklah dibiasakan di bibir apabila melakukan sesuatu kesilapan. Membaca tasbih ketika melihat keagungan dan keajaiban ciptaan Allah. Istirja’ apabila menerima dan mendengar sesuatu musibah, bukan semata-mata apabila berlaku kematian sahaja.
            Kita juga hendaklah mendidik diri dan jiwa kita supaya sentiasa berselawat kepada Rasulullah S.A.W. hanya melafazkan tiga patah perkataan sahaja yang ringan sebutannya tetapi ganjaran yang kita dapat disisi Allah cukup besar. Seperti sabda Rasulullah “manusia yang paling utama bagiku ialah yang paling banyak berselawat kepadaku (HR at-Tarmizi).
            Jadikanlah Rasulullah sebagai contoh dan tauladan serta amalkanlah sunnah yang telah kita pelajari walaupun sedikit tetapi berterusan.




Kawan, Teman atau Sahabat
            Kata orang berkawan biar seribu, berkasih biar satu, jika berteman biar hilang kesunyian, jika bersahabat biar dari dunia sampai akhirat. Soalannya sekarang teman yang hendak di cari itu adakah ia teman seperjalanan, teman biasa tapi mesra, teman sejati teman sehidup samati dan apa pula bezanya dengan sahabat. Ada pendapat mengatakan perbezaan antara kawan, teman dan sahabat dapat dinilai melalui keakraban dalam perhubungan. Hubungan dengan teman lebih akrab daripada kawan manakala dengan sahabat hubungannya lebih erat lagi.
            Dalam berkawan kita mencari teman, dalam berteman kita mencari sahabat. Tetapi kita telah sedia maklum bahawa bukan semua orang dapat dijadikan teman baik atau sahabat. Apatah lagi Nabi s.a.w juga telah berpesan yang mafhumnya:
Seseorang itu menurut agama temannya, maka hendaklah kamu meneliti orang yang akan dijadikan teman baiknya. (HR Abu Daud & Tirmizi)
            Jika kita berkesempatan merenung atau membayangkan wajah teman-teman yang kita kenali, kita kan dapati sebenarnya teman-teman kita itu adalah cerminan diri kita. Seseorang itu biasanya akan berkawan atau bersahabat dengan orang yang serasi dengan dirinya. Bagaimana kita menghadapi mereka, begitulah mereka melayani kita. Kalau kita boleh menjadi teman atau sahabat yang baik tetapi mereka tidak, maka itu adalah ujian buat kita yang memerlukan kita reda dan sabar.
            Kita wajib bergaul dalam usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar. Kalau kita mendapat sahabat sejati dalam pergaulan, itu merupakan bonus dan nikmat buat kita yang perlu disyukuri. Jika kita mendapat sahabat yang sekadar teman seiring jalan alangkah baiknya jika kita jadikan dia sahabat sejati. Sahabat yang baik adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Sahabat yang baik menjadi penunjuk jalan, penguat langkah dan azam. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengigatkan kita jika terleka. Sahabat yang baik umpama penawar manakala sahabat yang jahat umpama racun. Jika kita ingin mendapat sahabat yang boleh menjadi penawar, kita hendaklah menjadikan diri kita sebagai penawar terlebih dahulu. Jika ingin dicintai, kita terlebih dahulu mesti menanamkan rasa cinta kepada sahabat.
            Hubungan persahabatan yang tulus dan ikhlas sebenarnya merupakan salah satu jalan menuju ke syurga Allah S.W.T. Hubungan persahabatan yang didasari cinta, pertemuan dan perpisahan kerana Allah akan mendapat naungan Arasy Allah di akhirat kelak. Baik buruk seseorang dapat dinilai melalui sahabatnya. Justeru itu dalam kita berkawan carilah teman, dalam berteman carilah sahabat. Andai kita bertemu sahabat, hargailah persahabatan itu. Jika bersahabat, biarlah membawa hingga ke syurga.